Wednesday, March 25, 2015

Impianku, Keluarga Bahagia...


Sumber: Google Image
Assalamualaikum dan salam sejahtera...





Kali ini, isu yang akan diketengahkan adalah mengenai isu keluarga dan perkahwinan... ianya merupakan isu yang sering menjadi tumpuan pada masa kini.




Baiklah... untuk memulakan perbincangan isu ini, kami akan memulakan dengan pengenalpastian isu-isu atau permasalahan yang sering menjadi keutamaan dalam keluarga dan perkahwinan...

Isu-isu dan permasalahan utama di dalam keluarga dan perkahwinan


Sumber: Google Image
1. Konflik Peranan

Di dalam sesebuah institusi kekeluargaan, peranan setiap individu merupakan sesuatu yang penting dalam mendepani arus kemodenan ini. Sebagai contoh, seorang ibu yang berperanan untuk menjadi surirumah, ibu serta isteri di rumah dan mungkin juga seorang wanita yang bekerjaya akan mengalami konflik dalaman yang akan menyebabkan dirinya berasa tertekan. Seterusnya, tekanan dan ketegangan konflik peranan tersebut akan menjurus kepada timbulnya isu perselisihan faham dalam hubungan berkeluarga.

2. Perceraian

Isu perceraian merupakan isu yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan mereka yang berkeluarga pada masa moden ini. Tekanan dan ketidaksefahaman antara dua belah pihak boleh mewujudkan situasi perceraian tersebut. Ianya berlaku tatkala kedua belah pihak ingin mencari ketenteraman dengan tanpa terdetik untuk memikirkan alternatif lain yang mampu dilakukan dalam menyelamatkan sesebuah institusi kekeluargaan tersebut. Ada kalanya, perceraian ini akan menyebabkan tekanan bukan sahaja pada pihak yang terlibat secara langsung malah secara tidak langsung seperti anak-anak turut terlibat sama.


Sumber: Google Image
3. Keganasan Rumah Tangga

Keganasan rumah tangga merupakan isu global yang berlaku di masa kini. Pergaduhan, perselisihan faham dan tekanan yang menghimpit kedua-dua belah pihak suami dan isteri menyumbang kepada wujudnya perkara ini. Kebiasaannya, si suami yang sering melakukan penderaan secara fizikal dan mental kepada si isteri. Perkara ini menyebabkan anak-anak yang melihat turut merasa tertekan dan juga mungkin terlibat dalam penderaan tersebut. Emosi yang tidak stabil serta sikap panas baran antara yang menyebabkan isu ini terjadi.

4. Dual Career (Dwi-Kerjaya)

Dual Career merupakan isu yang dapat dikaitkan dengan golongan suami isteri yang masing-masing mempunyai kerjaya dan karier yang tetap. Dalam pada masa yang sama, golongan ini juga mempunyai peranan sebagai suami isteri serta ibu bapa kepada anak-anak mereka. Isu atau permasalahan ini mungkin akan menyebabkan ketidakseimbangan peranan dalam institusi kekeluargaan. Golongan yang komited pada kerjaya mungkin akan mengabaikan peranan mereka sebagai seorang ibu bapa dalam hidup berkeluarga. Hal ini sering wujud kerana mereka yang komited pada kerjaya kebiasaannya kurang memberi perhatian kepada apa yang berlaku di rumah. Maka, secara automatik hal-hal berkaitan dengan kekeluargaan juga turut diabaikan.

Ok, itu untuk pengisian bagi isu-isu dan permasalahan yang perlu dititikberatkan di dalam institusi kekeluargaan dan perkahwinan ini. Hurmm, bagaimana pula dengan implikasi yang mungkin berlaku akibat daripada timbulnya permasalahan tersebut? Kami akan mengupasnya dengan lebih lanjut...



Implikasi atau kesan daripada timbulnya isu dan permasalahan dalam institusi kekeluargaan dan perkahwinan

Implikasi isu yang dibincangkan oleh kami jelas memberikan impak dan kesan yang mendalam terhadap emosi, mental, fizikal dan psikologi seseorang... Oleh itu, lihatlah jadual di bawah untuk mengetahui kesan dan implikasinya secara umum... 


Jadual 1: Implikasi isu dan permasalahan yang dihadapi dalam institusi kekeluargaan


Kesan
Penerangan
Konflik Peranan
Perkara ini menyebabkan mereka berasa tertekan disebabkan oleh tanggungjawab yang begitu banyak yang perlu dipikul. Hal ini seterusnya membawa kepada pengabaian anak-anak. Kebanyakan ibu yang bekerja tidak memberikan perhatian yang secukupnya. Hasilnya, anak-anak berkemungkinan kekurangan kasih sayang daripada orang terdekat seperti ibu dan bapa.

Dalam pada itu, kesan konflik peranan juga menyebabkan penurunan prestasi pekerjaan di pejabat. Apabila fokus hilang, maka prestasi kerja menurun dan menyebabkan produktiviti organisasi turut menurun.

Perceraian
Kajian yang diterbitkan sebelum ini telah menunjukkan kesan negatif perceraian terhadap anak-anak yang mana sering terpampang di dada-dada akhbar. Dengan itu, anak-anak mudah mengalami kemurungan, penurunan prestasi pembelajaran, berhenti sekolah serta terlibat dalam kes jenayah. Golongan lelaki lebih mudah terpengaruh berbanding golongan perempuan seperti cenderung untuk bertindak ganas. Tambahan pula, mereka turut terlibat dalam kes ponteng sekolah, bergaduh dengan rakan-rakan dan melawan kata ibu bapa. Golongan perempuan juga tidak terlepas daripada kecenderungan dalam menghayati kesusahan mereka. Kemurungan dan mudah untuk terlibat dalam gejala-gejala sosial adalah kesan daripada pengabaian dan tekanan yang menimpa diri mereka.

Keganasan Rumahtangga

Sumber: Google Image
Terdapat beberapa implikasi daripada keganasan rumahtangga iaitu perpecahan dalam keluarga. Keganasan rumah tangga sering berlaku terhadap wanita kerana mereka dianggap insan yang lemah. Seringkali berlaku kes penderaan terhadap wanita disebabkan tekanan yang dialami oleh suami. Kebanyakan tekanan adalah berpunca daripada pengambilan alkohol, dadah, tekanan di tempat kerja dan sebagainya. Apabila keluarga mengalami masalah keganasan rumahtangga maka keluarga tersebut akan berpecah. Selain itu, anak-anak yang melihat penderaan yang dilakukan di hadapan mereka secara tidak langsung memberi kesan terhadap psikologi dan mental mereka. Tambahan pula, mereka akan turut cenderung untuk menjadi agresif pada masa akan datang. Hasil kajian yang dijalankan oleh Abdullah (2010) yang mana menyatakan kebanyakan masalah sosial dalam kalangan remaja adalah berpunca daripada masalah keluarga.

Dual Career (Dwi-Kerjaya)
Isu dalam pasangan dual kerjaya dapat dilihat kesannya kepada jangkaan dan tujuan terhadap pekerjaan dan keluarga. Gillbert (1993) mendapati bahawa wanita muda dan lelaki yang dibesarkan dalam keluarga dwi-kerjaya sangat komited untuk berkongsi peranan selepas berkahwin (dipetik daripada Abdullah, 2010). Pembahagian tugas termasuk aspek pekerjaan, urusan di rumah, sosial, dan keluarga. Menurut Goldenberg dan Goldenberg (2002), pasangan yang tidak menekankan pembahagian tugas dalam urusan rumah tangga sangat berpotensi terlibat dalam konflik interpersonal (dipetik daripada Abdullah, 2010). Beban tugasan biasanya berlaku antara pasangan suami isteri apabila peranan antara mereka tidak jelas iaitu, jika  pekerjaan suami tidak terlalu berat, atau jika isteri berpendapat pekerjaan suami sebagai kerjaya yang kurang penting, menyebabkan wujudnya potensi kebergantungan iaitu mengharapkan pasangan untuk melaksanakan beban tugas yang banyak.


Setelah membaca implikasi yang telah dikemukakan,perlu difahami juga peranan kaunselor di dalam memastikan isu, permasalahan dan implikasi ini dapat diminimumkan sebaik mungkin demi kesejahteraan emosi, fizikal, mental dan psikologi seseorang individu tersebut... Oleh itu, teruskan lihat kepada peranan kaunselor yang akan diterangkan secara ringkas selepas ini....


Peranan Kaunselor di dalam Membantu Klien yang mempunyai Masalah berkaitan Isu Kekeluargaan


Sumber: Google Image
Di Malaysia amnya, kes yang melibatkan institusi kekeluargaan merupakan isu yang serius dan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Oleh sebab itu, kaunselor perlu memainkan peranan dalam membantu menyelesaikan isu ini. Antara peranan kaunselor adalah seperti berikut:

a.       Pembimbing

Sumber: Google Image
Kaunselor bertindak membimbing dan mengajar klien bagaimana untuk melihat permasalahan klien dengan lebih jelas dan berusaha untuk menjadi penunjuk arah dalam mencari jalan alternatif yang bertepatan mengikut kesesuaian klien tersebut.

b.      Good Mother

Sumber: Google Image
Istilah ini diguna pakai berdasarkan pemerhatian ciri-ciri seorang ibu yang secara azalinya adalah sebagai penyembuh dalam menghadapi kedukaan. Maka, istilah ini perlu diaplikasikan oleh kaunselor agar klien dapat merasakan dirinya dihargai dan mempunyai seseorang yang boleh mendengar isi hati mereka dengan baik. Bukan itu sahaja, ianya turut mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada klien untuk berkongsi permasalahan dan isu yang dihadapi sekiranya kaunselor dapat mengaplikasikan peranan ini di dalam sesi.

c.       Catalyst (Pemangkin)

Sumber: Google Image
Kaunselor memainkan peranan penting dalam memastikan klien untuk membincangkan setiap isu dan permasalahan yang dihadapinya dengan mewujudkan kepercayaan dan keinginan klien untuk berkongsi lebih terperinci mengenai masalah yang dihadapi oleh mereka. Teknik yang biasa digunakan adalah seperti confronting atau juga dikenali sebagai teknik yang mencabar daya pemikiran sesorang klien itu untuk mewujudkan situasi celik akal dalam memahami permasalahan yang dihadapi olehnya.



Penggunaan Teknologi Maklumat (IT) di dalam pengendalian proses kaunseling

Sumber: Google Image
Sebelum menyentuh kepada isu-isu yang akan dibincangkan... terlebih dahulu pembaca perlu mengetahui apakah itu maksud Teknologi Maklumat (IT) dan apakah fungsinya dalam membantu profesion kaunseling atau dalam kehidupan seharian  manusia?

Hasil temubual dengan rakan yang berada di fakulti kejuruteraan dan fakulti sains komputer dan teknologi maklumat, rata-rata daripada mereka menyatakan bahawa, IT merupakan suatu benda yang membolehkan kehidupan manusia itu diibaratkan seperti "less effort" dan "optimizing workdone". Lalu, terma ini dibincangkan dan maksud sebenarnya adalah sesuatu perkara yang dilakukan dengan menggunakan IT akan lebih menjimatkan masa dan tenaga (less effort) dan meningkatkan produktiviti serta hasil bagi sesuatu pekerjaan (optimizing workdone). Maka, istilah IT perlu difahami dengan jelas terlebih dahulu sebelum melihat kepada sumbangannya terhadap masyarakat pada zaman ini.

Sumber: Google Image
Terdapat beberapa contoh IT yang dapat membantu dalam proses kaunseling yang telah di adaptasi daripada beberapa artikel di dalam laman web serta hasil temubual bersama pensyarah di Jabatan Kaunseling UNIMAS, Dr Fatahyah Yahya, antaranya:

1. Online Database

Online database di dalam konteks ini melihat kepada kemajuan dalam membantu menjimatkan masa dalam mengisi borang secara online dan tidak secara manual. Pengisian borang secara manual mungkin mengambil masa yang panjang jika dibandingkan dengan secara online. Kaunselor juga dapat mengoptimumkan masa dengan hanya mencetak borang yang telah selesai diisi dan menyimpannya sebagai rekod dokumentasi. Pendokumentasian juga dapat dilaksanakan dengan efisien dan sistematik.

2. Online Survey

Di dalam konteks kaunseling, online survey merupakan suatu alat yang dilengkapi dengan beberapa jenis soalan yang dirangka bagi mengenal pasti isu-isu yang berpotensi untuk dibincangkan di dalam sesi yang bakal dijalankan. Dalam pada itu, kaunselor juga mampu melakukan proses screening dengan efisien dan efektif terhadap isu-isu yang berpotensi dibincangkan dan merangka satu pelan rawatan yang bersesuaian  dan bertepatan dengan keperluan klien tersebut.

3. Video Conferencing

Sumber: Google Image
Perbincangan yang dilakukan secara visual juga dapat dimanfaatkan apabila klien berada jauh daripada kaunselor. Sesi secara visual atau video conferencing berlaku apabila klien dan kaunselor duduk berjauhan dan klien tersebut menginginkan sesi terus berjalan seperti biasa. 

4. Emel dan Telefon

Penggunaan emel bertujuan membantu dalam menetapkan proses janji temu kaunselor dengan klien. Dalam pada itu, sekiranya, klien berada jauh daripada kaunselor, penggunaan emel sebagai medium perhubungan juga amat penting. Bukan itu sahaja, klien juga mungkin akan meminta hak mereka untuk melihat nota kes yang berkaitan dengan sesi kaunseling yang dijalankan. Maka, kaunselor perlu bertindak proaktif dalam merangka satu nota kes yang general untuk dihantar kepada klien tersebut melalui emel. Penggunaan telefon juga dapat dimanfaatkan dalam melakukan perbualan atau sesi secara talian. Tetapi, sesi yang dilakukan secara bersemuka adalah lebih digalakkan dan efektif dalam konteks dan permasalahan isu berkaitan keluarga dan perkahwinan. 

Justeru, isu keluarga dan perkahwinan ini perlu dipandang dengan lebih teliti dalam memastikan jalan penyelesaiannya dapat dikenal pasti dan seterusnya membantu dalam proses kaunseling agar ianya berjalan dengan lebih teratur dan efektif.

Sekian sahaja perbincangan daripada ahli kumpulan kami. Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca entri ini. 

Disediakan oleh kaunselor pelatih,

1. Kartika Binti Suwardi
2. Mohd Amin Bin Mohd Ismail
3. Liong Hui Mei
4. Mohd Saizam Bin Said
5. Molita Anak Tajem
6. Jumpalila Binti Amit
7. Muhamad Ihsan Bin Abd Aziz
8. Madline Bernai Ak Jawa

P/s: Ini adalah senarai rujukan yang kumpulan kami gunakan untuk menghasilkan entri yang menarik ini....

Abdullah, A. (2010). Themes and issues in research on social problems in the first decade of the 21st century in Malaysia. Akademika, 78, 3-14

www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/7162-menangani-perceraian-bagi-mengurangkan-kesan-negatifnya-terhadap-anak-anak.

www.myhealth.gov.my/index.php/dewasa/keganasan/keganasan.rumahtangga

www.psychiatry-malaysia.org/article.php?aid=1515

senadakpwkm.wordpress.com/2012/02/13/penceraian-perlu-dielakkan-alternatifnya

senadakpwkm.wordpress.com/2011/07/04/keganasan-rumah-tangga

techterms.com/definition/it

www.webopedia/TERM/V/Videoconferencing.html

Dalam masa yang sama juga, ahli kumpulan kami ada menggunakan nota kuliah yang telah disediakan  oleh Dr Fatahyah Yahya, Pensyarah Jabatan Kaunseling, UNIMAS.

Selain itu, kumpulan kami juga ada menemu bual Dr Fatahyah Yahya secara bersemuka untuk mendapatkan  maklumat lanjut. Tidak ketinggalan, pertanyaan secara tidak formal terhadap pendapat pelajar Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UNIMAS, mengenai maksud IT dalam erti kata mudah dan senang difahami.

No comments:

Post a Comment